::~ :: HiDaYaH ::~::

Monday, January 29, 2007

Teori evolusi Darwin pesong kejadian insan



PENEMUAN hasil kajian saintis dalam pelbagai bidang menemukan kebenaran ayat al-Quran berkaitan kejadian alam dan kejadian. Mereka menerima kenyataan al-Quran datangnya daripada Allah, yang mencipta alam ini. Justeru, apa yang terkandung di dalam al-Quran adalah tepat.

Namun, masih ada golongan yang percayakan mengenai teori evolusi. Teori evolusi menjelaskan apa yang ada hari ini berbeza pada masa lalu. Perubahan secara evolusi (perlahan atau beransur-ansur) mengubah apa yang asal kepada satu bentuk lain.

Tidak terkecuali melalui proses evolusi ialah manusia. Lebih mudah dikatakan bahawa manusia asalnya bukan seperti manusia hari ini. Itulah yang dipercayai oleh golongan yang mengagungkan teori evolusi.

Setiap Muslim mesti mempercayai manusia pertama dicipta ialah Nabi Adam. Manusia bukan terhasil melalui proses evolusi daripada makhluk lain yang bertukar menjadi manusia seperti sekarang.

Adam dicipta daripada tanah liat seperti firman Allah dalam surah al-Hijr, ayat 26 bermaksud: Kami menjadikan manusia itu daripada tanah liat hitam kering, daripada tanah hitam yang berubah baunya.

Manakala sabda Rasulullah pula bermaksud: Kamu semua adalah daripada anak Adam dan Adam daripada tanah. Manusia itu daripada anak Adam dan Allah mencipta Adam daripada tanah. (Hadis riwayat Abu Daud).

Penciptaan Adam dalam keadaan sempurna, yang menjadi bapa kepada seluruh manusia daripada mula hingga ke hari kiamat. Adam dilantik sebagai khalifah di muka bumi dan nabi pertama yang mampu menguruskan kehidupan dan menimba ilmu pengetahuan.

Allah membezakan penciptaan manusia berbanding makhluk lain. Manusia diciptakan dengan kelebihan akal dan nafsu.

Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya. (Surah at-Tin, ayat 4).

Oleh itu tidak tepat jika mempercayai bahawa teori evolusi mengenai asal kejadian manusia. Pembuktian dalam hal-hal lain berkaitan evolusi tidak boleh dijadikan bukti asal kejadian manusia.

Teori evolusi menggambarkan bahawa kejadian manusia berasal daripada beruk atau kera besar. Ketika melalui evolusi sebagai manusia purba, peradaban manusia didakwa belum sempurna. Hidup secara rakus ala alam haiwan, terikut-ikut cara hidup sebelum itu.

Berdasarkan teori evolusi, jika Adam dianggap manusia pertama yang sempurna, maknanya Adam dilahirkan oleh generasi beruk sebelum itu. Ini jauh sekali daripada apa yang dijelaskan oleh Allah Adam (manusia) dicipta daripada tanah.

Kadar evolusi manusia juga didakwa berbeza-beza mengikut keturunan berdasarkan warna kulit. Menurut fahaman Darwinisme (kepercayaan terhadap teori evolusi), bangsa kulit putih lebih tinggi dari segi evolusinya daripada orang berkulit hitam.

Inilah sebab dijadikan alasan mengapa kaum kulit putih lebih ke hadapan cara pemikiran dan gaya hidup berbanding kulit hitam. Contohnya, bangsa yang kulitnya hitam pekat, dianggap lebih dekat dengan keturunan orang hutan.

Fahaman inilah sedikit sebanyak mempengaruhi orang kulit putih menjadikan orang kulit hitam sebagai hamba abdi. Mereka berasa lebih mulia berbanding orang kulit hitam. Dalam keadaan lebih hina, orang kulit putih mendakwa orang kulit hitam masih layak dilayan seperti haiwan kerana belum berevolusi sepenuhnya menjadi manusia sempurna.

Sedangkan sebenarnya, Allah mencipta manusia berlainan bangsa dan warna kulit adalah untuk manusia saling kenal mengenali dan berkasih sayang. Manakala penilaian Allah terhadap manusia adalah berdasarkan kepada takwa.

Teori evolusi asalnya turut menyandarkan kepada alasan bahawa perbezaan genetik amat kecil antara manusia dan cimpanzi. Cimpanzi dianggap keturunan beruk yang memasuki evolusi terakhir sebelum memasuki fasa manusia purba. Penyokong teori evolusi mendakwa 99 peratus genetik manusia menyamai genetik cimpanzi.

Teori evolusi berasaskan genetik ini pada mulanya sukar dipatahkan oleh orang Islam memandangkan ahli sains Islam tidak mempunyai kemahiran tinggi tentang genetik biarpun ilmu genetik mulanya diasaskan oleh orang Islam. Pun hakikatnya, orang Islam tidak pernah dipesong oleh teori evolusi, melainkan sedikit bilangannya disebabkan kelemahan iman.

Pembohongan kaitan genetik terbongkar apabila sainstis bukan Islam yang membuat kajian mengenai genetik untuk menyokong teori evolusi menemui sebaliknya. Persamaan antara manusia dan cimpanzi dari segi genetik sebenarnya hanya sekitar 95 peratus

Kita menanti lahir ahli sains Islam yang dapat menyangkal sepanuhnya teori evolusi. Sekarang ini kita menggunakan uji kaji dijalankan ahli sains bukan Islam. Mungkin ada sesuatu yang mereka rahsiakan.

Menurut apa difirmankan Allah dalam al-Quran, ada empat cara manusia dicipta. Selain Adam dicipta daripada tanah, Hawa pula dicipta daripada tulang rusuk Adam. Nabi Isa dilahirkan tanpa bapa. Sedangkan manusia lain dicipta melalui proses biasa memerlukan cantuman mani dalam rahim.

Individu Muslim tidak boleh sama sekali menerima pakai teori evolusi mengenai kejadian manusia kerana dalam al-Quran menjelaskan keturunan manusia berasal daripada Adam. Kandungan al-Quran tidak harus diragui. Mempercayai kepada al-Quran (percaya kepada kitab) adalah termasuk Rukun Iman.

Allah tidak melarang kita mengkaji kejadian alam. Diharapkan kajian yang dilakukan akan memperkuatkan tanda keimanan dan mengakui kebesaran Allah. Semakin banyak yang dikaji, semakin menemukan kehebatan ciptaan Allah.

Malangnya, bagi pengkaji kafir, semakin banyak dikaji, semakin terasa keangkuhan. Mereka bukan tidak menemui kebenaran dalam kajian, tetapi sengaja memesongkan ilmu yang diperoleh. Pengkaji kafir sengaja menafikan kebenaran kandungan al-Quran yang banyak menyebut mengenai kejadian alam.

Hampir semua tokoh komunis dan pengikutnya mempercayai mengenai teori evolusi kejadian manusia. Ini bersesuaian dengan keyakinan mereka bahawa tidak ada pencipta manusia. Alam ini terjadi sendiri melalui proses evolusi sejak beribu jutaan tahun lalu. Fahaman komunis menolak kenyataan adanya Maha Pencipta alam ini.

Proses evolusi mungkin sesuai untuk membincangkan kejadian makhluk lain. Itupun hanya satu andaian. Hanya Allah mengetahui kejadian alam ini dan seluruh isinya, bermula ia dicipta dan apa yang akan berlaku seterusnya. Allah Maha Pencipta.

(BH 29/01/07)

Friday, January 26, 2007

Ex OC actress Angela convert to islam

Sunday, January 14, 2007

‘Tuan Edmund’ puas berdebat sebelum peluk Islam

‘Tuan Edmund’ puas berdebat sebelum peluk Islam

Oleh SITI AINIZA KAMSARI


MOHD. Danial Edmund B. John.

SYUKUR kepada Allah s.w.t. walaupun agama-Nya kini berhadapan dengan pelbagai asakan dan cabaran. Namun masih ada di celah-celah cabaran itu mereka yang akhirnya mengakui kebesaran-Nya dan tanpa paksaan mana-mana pihak sanggup meninggalkan agama asalnya untuk memilih Islam.

Antaranya ialah Pegawai Penyiasat Cawangan Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya (IPD), Inspektor Mohd. Danial Edmund B. John, 25, yang memeluk Islam pada April lalu.

Penulis mengenali beliau sejak hampir setahun lalu ketika bertugas di Meja Jenayah Utusan Malaysia. ‘Tuan Edmund’ ialah manusia yang sentiasa bersaing dengan masa.

Sebagaimana pesatnya bandar raya Petaling Jaya itu sendiri, begitu jugalah kadar kemalangan jalan raya yang berlaku setiap hari di daerah itu.

Jadi, Edmund tidak pernah senang duduk dan beliau sering dilihat berada di hampir setiap tempat kejadian kemalangan tanpa mengira kecil atau besar, panas atau hujan, siang atau malam, dekat atau jauh.

“Melayan semua rekod kemalangan juga menyebabkan saya sering tidak menyedari begitu pantasnya masa berlalu. Tahu-tahu malam sudah melabuhkan tirai,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.

Oleh itu, bilakah Edmund berpeluang untuk mengenali Islam sehingga membolehkan beliau akhirnya mengucapkan kalimah syahadah?

“Saya mengaku kerelaan saya meninggalkan ajaran Kristian dan memeluk Islam adalah kerana saya ingin mengahwini teman wanita saya yang merupakan seorang beragama Islam.

“Dengan memeluk Islam, ia membolehkan saya bertunang dengannya baru-baru ini dan jika tidak ada sebarang aral, kami akan bernikah hujung tahun ini,’’ katanya sambil tersenyum.

Pun begitu, Edmund yang kini mahu dikenali sebagai Danial berkata, beliau tidak begitu memikirkan soal perkahwinannya itu berbanding tanggungjawab utama beliau kini iaitu untuk belajar dan mengamalkan ajaran Islam dengan betul.

“Walaupun perkahwinan itu penting, tetapi bagi saya mengenali dan mempelajari Islam itu kini lebih saya utamakan.

“Ini kerana saya mahu mempunyai pegangan Islam yang kukuh bagi membolehkan saya dan tunang, Norawati Ibrahim, 26, mampu melayari bahtera perkahwinan yang kuat untuk menempuh sebarang cabaran yang mendatang,’’ katanya.

Bagi Danial, tidak ada yang lebih menjamin kebahagiaan rumah tangga kecuali pasangan suami isteri itu mempunyai pegangan dan mengamalkan ajaran agama yang sama.

“Saya tidak memeluk Islam semata-mata kerana menghormati agama bakal isteri saya. Ini kerana sekadar hormat sahaja berapa lama ia dapat bertahan.

“Malah itu sebenarnya hanya bersifat luaran sedangkan menikmati iman yang sama dapat membereskan banyak perkara dalam perhubungan suami isteri,’’ jelasnya. Begitu pun Danial mengaku bukan mudah untuk beliau meninggalkan agama asalnya.

Lebih-lebih lagi beliau yang berasal dari Tenom, Sabah adalah anggota suku kaum Lundayeh yang kebanyakan masyarakat di kampungnya merupakan penganut Kristian.

“Saya sendiri dibesarkan oleh ibu bapa yang mempunyai kepercayaan dan pegangan yang begitu kuat terhadap Kristian aliran Protestan. Bapa saya sendiri ialah ahli gereja yang menyebabkan beliau dipandang tinggi oleh masyarakat,’’ katanya.

Sebagai anak sulung daripada empat adik-beradik, Danial diasuh mengenai ajaran-ajaran Kristian dan beliau juga suka menghabiskan masa membaca kitab Injil.

“Walaupun ada ibu saudara saya – yang satu-satunya memeluk Islam dalam keluarga kami – namun saya sendiri tidak pernah terfikir mengenai agama lain kecuali Kristian,’’ katanya.

Sehinggalah Danial kemudian melanjutkan pelajaran di sebuah kolej swasta di Taman Maluri, Cheras

“Selepas saya mendapat diploma dalam jurusan Sains Komputer dan mula menyertai pasukan polis pada tahun 2003, saya masih mampu mempertahankan Kristian walaupun tidak lagi sekuat berbanding semasa berada di Sabah,’’ katanya.

Tetapi apabila mula bertugas di IPD Petaling Jaya, pandangan hidupnya mula berubah akibat suasana baru di situ.

“Di sini majoriti petugas dan kakitangannya beragama Islam. Jadi ini memberikan kesan pada diri saya secara tidak langsung.

“Sedikit demi sedikit, saya mula mengenali Islam melalui pergaulan dan sehinggalah tiba bulan puasa, misalnya, saya sendiri ikut berpuasa,” tambahnya.

Puasa

Menurut Danial, suasana itu cukup harmoni lebih-lebih lagi apabila tiba masa berbuka puasa beramai-ramai.

“Saya rasa sungguh gembira dengan suasana seperti itu tetapi apabila masing-masing kemudian berkejar pulang untuk merebut peluang mendirikan sembahyang sunat tarawih, misalnya, saya tiba-tiba menjadi sedih dan keseorangan.

“Jadi semua ini menyebabkan saya cuba mengenali Islam dan atas dorongan dan sokongan kuat beberapa kakitangan di sini, niat saya untuk memeluk Islam menjadi semakin kuat,’’ katanya.

Namun perjalanan memeluk Islam masih tidak mudah selagi Danial tidak menafikan ‘kebenaran’ ajaran Kristian yang beliau anuti selama ini.

“Saya bukannya seorang alim malah mengaji Injil pun tidak habis tetapi pada masa itu saya tidak nampak apa kurangnya Kristian.

“Jadi semasa mengikuti pengajian Islam di Perkim, saya selalu berdebat dengan ustaz mengenai Islam dan Kristian.

“Kami berhenti berdialog hanya untuk sembahyang dan makan, yang lain sehingga larut malam kami tidak henti-henti membicarakan soal agama ini,’’ katanya.

Akhirnya Danial dapat menerima dan mengakui sepenuhnya kebenaran mengenai Islam.

“Malah yang lebih mengharukan Islam sebenarnya meletakkan Nabi Isa mempunyai kedudukan yang tinggi sehinggakan diperuntukkan surah Maryam dalam kitab suci al-Quran yang menjelaskan kedudukan Nabi Isa,” jelasnya.

Kata Danial, penjelasan tersebut begitu menjawab persoalan selama ini sama ada baginda itu benar-benar tuhan atau nabi.

“Rupa-rupanya baginda hanyalah seorang manusia yang menerima wahyu untuk memberi petunjuk kepada manusia yang lain dan bukan juga raja yang mempunyai kekuasaan atas hidup dan mati rakyatnya,’’ katanya.

Perjalanan hidup Danial sebenarnya semakin ‘mencabar’ kerana pengislamannya itu bakal mengundang lebih banyak cabaran dan salah tanggapan ramai pihak.

“Saya memaklumi perkara ini dan dalam keadaan saya masih begitu baru dalam Islam tentu saya memerlukan kekuatan dan ketabahan yang tinggi.

“Namun, apa yang pasti pengislaman saya ini tidak melahirkan Danial yang lupa daratan, lupa pada asal usulnya jauh sekali ingin memisahkan diri daripada keluarga dan zaman lampaunya,’’ katanya.

Kata Danial, beliau masih mahu menjadi anak yang baik dan bertanggungjawab terhadap keluarga dan perbezaan agama tentunya bukan menjadi penghalang.

“Saya begitu menyayangi dan sangat memerlukan keluarga saya dan berharap kepulangan saya pada suatu hari nanti ke pangkuan mereka dapat diterima dengan baik.

“Kali ini lebih istimewa bersama bakal menantu sebagai anggota keluarga baru yang juga tidak sabar untuk mengenali dan menjadi sebahagian daripada hidup mereka,’’ katanya

(sumber: UM 27 Julai 2006)

Saturday, January 13, 2007

Profesor AS akui solat berjemaah tersirat aspek sains fizik


Profesor AS akui solat berjemaah tersirat aspek sains fizik


SEORANG profesor fizik di Amerika Syarikat (AS) membuat satu kajian kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. BErdasarkan kajiannya, tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik, iaitu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita, sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.
Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita. Ketidakseimbangan cas dalam badan, menyebabkan kita berasa letih dan lesu selepas melakukan kegiatan seharian.

Oleh itu, cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal. Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan dalam minda beliau, mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.

Hasil kajiannya mendapati, bilangan rakaat berbeza dalam solat bertindak menyeimbangkan cas dalam badan kita.

Ketika solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan yang dianjurkan ketika solat berjemaah itu mempunyai pelbagai kelebihan.

Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan di kanan kita, akan menstabilkan kembali cas yang diperlukan oleh tubuh.

Ia berlaku apabila cas yang berlebihan – sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam tubuh kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Beliau berkata, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan berasa segar dan sihat selepas berehat beberapa jam.

Ketika ini tubuh kita mengandungi cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas supaya keseimbangan tubuh badan yang penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan dua rakaat.

Seterusnya, selepas sehari kita bekerja kuat dan memerah otak, semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh badan yang sudah digunakan.

Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan memulihkan keseimbangan cas berkenaan. Sebab itu, solat Zuhur didirikan empat rakaat untuk memberi ruang lebih kepada proses pertukaran cas di dalam tubuh.

Keadaan sama turut berlaku pada sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ia menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak.

Seperti solat Zuhur, empat rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.

Lazimnya, selepas waktu Asar, kita tidak lagi melakukan aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama.

Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak tiga rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding dua waktu sebelumnya.

Timbul persoalan dalam fikiran profesor itu mengenai solat Isyak yang dikerjakan sebanyak empat rakaat.

Secara logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan kegiatan dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.

Selepas kajian lanjut dilakukan , didapati ada keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan empat rakaat di dalam solat Isyak.

Kita sedia maklum, umat Islam digalakkan tidur awal supaya mampu bangun untuk menunaikan tahajud (sembahyang malam) pada sepertiga malam.

Ringkasnya, solat Isyak sebanyak empat rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun pada waktu malam untuk beribadat (qiamullail).

Dalam kajiannya, beliau mendapati bahawa Islam adalah agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri.

Beliau berasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam semesta ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.

(sumber: BH 13/1/07)