Eugene Abdul Azim ingin tahu bawanya kepada Islam
“KALAU puan hendak tanya apakah faktor yang menyebabkan saya memeluk agama Islam? Itu sesuatu yang sukar hendak dijawab secara lebih khusus atau pasti.
Inilah yang dikatakan suratan takdir.” Begitulah luahan ikhlas Perunding Kewangan, Eugene Abdul Azim Abdullah, 37, pada pertemuan yang dirancang sehari sebelum itu.
Ini kerana kata anak kelahiran negeri Melaka itu, pencariannya kepada Islam serta niat awal yang membawa kepada penyelidikan tentang zat Pencipta atau Allah tercetus daripada rasa ingin tahu kira-kira 18 tahun yang lalu.
“Pada masa itu saya sedang mengikuti pengajian di Institute of Arts yang pada masa itu beroperasi di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dalam bidang Reka Bentuk Grafik. Memandangkan saya ini jenis yang selalu mempersoalkan kenapa alam ini terjadi?, kenapa manusia dijadikan? dan banyak lagi pertanyaan yang datang bertalu-talu dalam diri yang memerlukan jawapan menyebabkan saya mula mencari dan menyelidik.
“Yang pastinya, setiap soalan itu saya tidak pernah putus asa mencari sehingga saya rasa puas dan yakin. Malah untuk sampai ke tahap terima hidayah Allah ini, tidaklah semudah seperti saudara baru yang lain. Namun, saya yakin semua itu ada hikmah di sebaliknya.
“Berbalik kepada cerita awal kepada pencarian kebenaran saya, waktu di kolej itulah saya mula membuat kajian beberapa agama dan seterusnya melakukan perbandingan agama menerusi pelbagai sumber ilmu.
“Alhamdulillah, seorang teman memberikan buku berjudul, The Choice karangan Sheikh Ahmad Deedat dan kemudiannya saya berpeluang menonton video memaparkan dialog tentang perbandingan agama seterusnya pernah mengikuti ceramah Sheikh Ahmad Deedat sewaktu kunjungannya ke Malaysia,” cerita anak sulung daripada empat adik-beradik yang dibesarkan dalam keluarga yang beragama Buddha.
Tambah Eugene, dalam tempoh pencarian itu juga beliau pernah bergelar seorang Kristian tetapi bertahan lebih kurang tiga tahun. Mengapa beliau tidak terus dengan agama tersebut juga, kata bapa kepada empat cahaya mata ini adalah kerana Allah. Beliau percaya semua itu ada sesuatu yang hamba-Nya tidak mengetahui.
“Nak dijadikan sebab, pada hari saya hendak dibaptiskan, bapa dapat tahu. Ugutan bapa akan terputus hubungan kekeluargaan jika saya teruskan dengan niat menjadi Kristian apatah lagi pada masa itu usia saya belum mencecah 21 tahun telah merencatkan perancangan meneruskan niat pada masa itu.
Hikmah
“Namun bila saya kenang semula, saya melihat ini sebagai perjalanan hidup yang telah ditentukan Allah kepada seseorang hambanya. Saya melalui hari-hari seterusnya tidak dalam kekecewaan kerana saya berpegang dengan kata-kata hikmah daripada seorang pakar motivasi, Anthony Robins yang berbunyi, Allah melambatkan sesuatu permintaan itu tidak bermakna Ia menolaknya.
“Ini kerana apabila saya bertemu dengan agama Islam itulah saat yang paling bermakna dalam kehidupan ini. Hakikatnya, Islam adalah agama yang fitrah (semulajadi) dan cantik. Selain itu, ada unsur magis atau keajaiban dalam Islam cuma ia tidak nampak dengan mata kasar. Seseorang individu Islam perlu menyelaminya barulah mampu menemuinya,” kata Eugene yang memeluk Islam pada 13 Disember 1993 di rumah seorang teman yang terletak di Seksyen 14, Petaling Jaya, Selangor. Majlis pengislaman itu telah disempurnakan oleh Ustaz Harun Din.
Katanya lagi, berkunjung ke Muzium Kesenian Islam semasa berlangsungnya Pameran Islam benar-benar membuka mata serta hatinya bahawa agama Islam adalah agama universal dan bukan hak milik orang Melayu. Paparan poster masjid-masjid yang terdapat di China, mengukuhkan dan menjelaskan bahawa Islam lebih lama bertapak di negara itu berbanding Malaysia.
Apabila diminta berkongsi bagaimana unsur luar biasa yang pernah dilaluinya, akui Eugene bagaimana peluangnya menunaikan umrah biarpun pada masa itu, dalam tangan langsung tidak ada sejumlah wang untuk ke Tanah Suci Mekah.
“Entah macam mana seorang teman, Mazlan Junid telah mengajak saya bersamanya mengerjakan umrah dengan semuanya ditanggung beres. Padahal pada masa itu saya langsung tidak terlintas berpeluang ke sana kerana ketiadaan belanja yang mencukupi. Kalau dah rezeki... tidak ke mana.
“Seperkara lagi, untuk ke sana saya perlu menukar nama asal yang terdapat di pasport kepada nama Islam. Sedangkan saya hanya ada tempoh 11 hari untuk menyiapkan serba-serbi. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan Allah tidak sampai sejam.
“Itu lebih menguatkan lagi keyakinan dan kepercayaan saya terhadap bukti kekuasaan Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui dalam segala-galanya,” akui Eugene peluang menunaikan umrah pada Ramadan 2002 adalah pengalaman paling bermakna kerana ketika berada di sanalah itulah umat Islam dapat menyelarikan semula apa yang ditemui dalam ilmu dan dibuktikan dengan sejarahnya.
Berkongsi kisah reaksi keluarga, jelas Eugene ibu bapa mana yang tidak marah apabila mendengar anak yang mereka besarkan memilih kepercayaan yang berbeza apabila mereka dewasa.
“Saya peluk Islam tanpa pengetahuan keluarga dan masih tinggal dengan mereka biarpun sudah Islam. Saya berusaha menunaikan tanggungjawab seorang Muslim secara bersembunyi. Namun lama kelamaan, saya mengambil keputusan berpindah dan saat itulah keluarga mula mengesyaki yang saya sudah bertukar agama.
“Sewaktu saya berkahwin dengan isteri, Puteri Ameiza Megat Ameir Noordin pada 1995, keluarga masih lagi marah tetapi apabila lahirnya anak lelaki, saya kuatkan semangat membawa mereka pulang ke rumah keluarga. Bagi saya cincang air tidak akan putus. Alhamdulillah, hati ayah lembut apabila melihat cucu lelakinya,” kata Eugene bersyukur kemelut hubungan antara mereka sekeluarga tidak berlarutan sehingga bertahun-tahun.
(sumber: UM 14 Dec 2006)
0 Comments:
Post a Comment
<< Home