Bagaimana mencari hidayah Allah?
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
UMAT Islam era globalisasi berhadapan dengan pancaroba yang boleh merencatkan pertumbuhan Islam sebagai agama syumul. Serangan demi serangan yang datang bagaikan bom mortar hampir-hampir memusnahkan dunia Islam yang telah membina kegemilangannya sejak zaman Rasulullah s.a.w.
Namun, cabaran paling hebat yang harus ditanggung oleh umat Islam sejagat ialah isu murtad yang sejak kebelakangan ini menguak perhatian masyarakat.
Persoalannya, mengapakah orang Islam yang telah terdidik dengan ilmu agama sejak kecil boleh menukar haluan hidup mereka apabila menginjak ke usia dewasa? Apakah elemen yang masih kurang dalam jiwa mereka?
Pensyarah Jabatan al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zahazan Mohamed mengupas isu tersebut dengan memberikan panduan dan langkah-langkah untuk mengelakkan umat Islam terjebak dengan gejala negatif.
Al-Quran telah menekankan tentang hidayah sebagai jalan penyelesaian terbaik dalam menangani masalah orang Islam. Ia boleh dirujuk kepada tiga perkara utama iaitu individu, sumber dan langkah-langkah untuk mendapatkan hidayah daripada Allah s.w.t.
Hidayah atau disebut dalam bahasa Arab sebagai muhtadin, yahtadan, huda atau hadi menunjukkan 309 tempat di dalam al-Quran. Terminologi lain mengenai hidayah atau disebut dalam bahasa Arab iaitu rashadan, rashidun, rashid, rushdan, yarshadun atau murshid disebut dalam 17 tempat di dalam al-Quran.
Secara keseluruhannya, sebanyak 326 tempat di dalam al-Quran Allah s.w.t. menekankan tentang hidayah. Hidayah maksudnya ialah petunjuk. Dr. Ruuhi al-Ba'alabaki dalam kamus al-Mawrid Arabic- English menterjemahkan sebagai: right guidance, right way, true religion. Dr. Mahmud Yunus dalam Kamus Arab Indonesia pula menterjemahkan sebagai petunjuk.
Sebenarnya hidayah menerusi penggunaan bahasa Arab bukanlah semestinya difokuskan kepada kehidupan beragama walaupun memang tidak dapat dinafikan bahawa kecenderungan ke arah itu yang lebih ketara.
Dalam maksud lain, konteks hidayah ini juga merangkumi panduan yang diperoleh dalam setiap kerja yang dilakukan agar mendapat natijah yang diharapkan. Seorang guru dilatih agar mengusai pendekatan pengajaran dan pembelajaran untuk menarik perhatian pelajar.
Dalam konteks ini guru itu telah mendapat hidayah untuk memimpin para pelajarnya. Demikian juga istilah ini juga boleh digunakan kepada makhluk lain seperti lebah yang diberi hidayah oleh Allah untuk memilih madu dari ribuan spesies bunga yang ada di muka bumi. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t menerusi surah Taha ayat 50.
Kata Zahazan lagi, perkara yang menjadi fokus diskusi kita ialah hidayah yang berkaitan pemilihan cara hidup yang diredai Allah dan istiqamah dalam kehidupan hingga ke akhir hayat.
Kaitan manusia dan Allah s.w.t. dalam perkara inilah yang diistilahkan sebagai hidayah yang membezakan seorang Islam dari yang bukan Islam. Ini terkandung dalam surah al-Qasas, ayat 56.
Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, latar belakang turunnya ayat ini berkait dengan kes kewafatan bapa saudara Baginda, Abu Talib yang meninggal dunia dalam keadaan tidak Islam walaupun beliau sentiasa melindungi Baginda dalam kerja-kerja dakwahnya.
Alasan yang diberikan olehnya ketika saat nazak itu ialah kerana bimbangkan dicemuh oleh golongan wanita Quraisy bahawa beliau ini takut memeluk agama datuk nenek moyang mereka. (Riwayat Bukhari)
Dalam kes yang berasingan Nabi Muhammad s.a.w. juga pernah berdoa kepada Allah s.w.t agar memberikan hidayah ibu Abu Hurairah agar memeluk Islam lalu dimakbulkan Allah.
Nabi s.a.w juga pernah berdoa ke hadrat Allah agar memberi hidayah kepada salah seorang daripada dua orang Quraisy yang sangat berpengaruh pada zaman itu. Baginda s.a.w berdoa, maksudnya: Ya Allah, kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua orang lelaki yang Engkau cintai ini: Abi Jahal ataupun Umar al-Khattab r.a. (Riwayat al-Tirmizi, Ahmad dan al-Hakim, semuanya mengatakan sebagai sahih) Lalu Allah s.w.t. memilih Umar al-Khatab untuk diberikan hidayah.
Perkara berkaitan hidayah bukan sahaja disebut dalam al-Quran tetapi di dalam rutin bacaan sembahyang. Paling kurang dalam sehari, seseorang Muslim yang mendirikan solat lima waktu akan memohon hidayah sebanyak 17 kali berdasarkan kepada bacaan-bacaan rukun dalam sembahyang melibatkan al-Fatihah.
Ini tidak termasuk bacaan memohon hidayah ketika sujud dan duduk antara dua sujud. Demikian pula bacaan Qunut ketika solat Subuh dan witir, kita sentiasa memohon hidayah daripada Allah s.w.t.
Untuk memperoleh hidayah, individu yang terlibat mempunyai peranan yang cukup besar kerana hidayah Allah akan turun kepadanya. Allah s.w.t. memberikan ujian agar umatnya kembali kepada-Nya.
Bagaimana untuk mendapatkan hidayah? Sebenarnya, hidayah adalah muktasabat iaitu sesuatu yang boleh diusahakan. Ini dijelaskan dalam surah al-Jinn, ayat 1-3.
"Surah di atas jelas menunjukkan bahawa al-Quran adalah sumber utama untuk mendapatkan hidayah. Oleh itu, kita perlu membaca dan memahami maksudnya.
Untuk mengekalkan hidayah, kita perlu amalkan bacaan al-Quran supaya ia menjadi sebahagian daripada rutin seharian," katanya. Ini merujuk kepada hadis sahih riwayat al-Hakim yang menyatakan bahawa, 10 ayat dalam sehari, maka dia akan terpelihara daripada menjadi golongan yang lalai.
Bersungguh-sungguh
Tambahnya, hidayah juga boleh diperoleh apabila seseorang itu bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara sebagaimana yang diterangkan dalam surah al-Ankabut, ayat 6.
"Contohnya, Prof Dr. Mourice Bulcailler, seorang saintis yang mengkaji al-Quran dan Bible demi mencari ketakjuban ilmu sains. Lalu beliau mendapati, fakta-fakta yang terkandung di dalam al-Quran adalah suatu keajaiban dan kebenaran Islam yang tersembunyi selama ini hingga akhirnya memeluk agama Islam," cerita Zahazan.
Allah s.w.t. juga mengajar umat Islam tentang cara-cara berdoa untuk mendapatkan hidayah sebagai mana terkandung dalam beberapa surah dari al-Quran, contohnya dalam surah ali-Imran. Surah al-Kahfi ayat ke 10 pula, Allah mengabadikan munajat pemuda-pemuda dalam gua tersebut agar dianugerahi kemantapan iman dan kesuburannya, ataupun dalam istilah yang lebih pragmatik iaitu istiqamah. Doa ini juga wajar diamalkan secara intensif oleh semua.
Selain itu, dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w turut menganjurkan kita agar memohon doa yang bermaksud: Ya Allah Ya Tuhanku, tetapkan aku dalam keimanan dan jadikan aku ini mampu memberikan hidayah kepada orang lain dan jadikan aku sentiasa mendapat petunjuk dari-Mu.
Perkara terakhir berkait dengan hidayah ialah taufik iaitu kemampuan untuk melakukannya.
Sebagai contoh, ramai orang berkemampuan untuk mengerjakan fardu haji tetapi menangguhkannya dengan alasan banyak kerja dan tanggungan yang perlu dibereskan.
Mereka seolah-olah merasakan rezeki mereka akan terhalang kerana pemergian ke tanah suci untuk tujuan melaksanakan kemuncak rukun Islam itu. Golongan ini hendaklah diterangkan bahawa rezki bukannya terletak pada kegigihan semata-mata. Keberkatan hendaklah diambil kira.
Begitu juga ramai umat Islam tidak menjalankan tanggungjawab berzakat kerana tiada taufiq, walaupun mengetahui ia merupakan suatu kefardhuan. Tidak terkecuali sikap pengguna muslim yang masih cenderung berurusan dengan sistem perniagaan, kewangan dan produk yang tidak halal walaupun mengetahui status haram dan syubhatnya.
Dalam konteks sosial pula kadangkala penduduk rumah-rumah murah di bandar-bandar besar yang kebanyakannya merupakan orang Islam kerap dikenali sebagai golongan yang kurang menjaga kebersihan.
Pada hemat saya perbuatan itu bukan sahaja menyebabkan pemandangan yang menjijikkan, malah mengundang penyakit, tambah beliau.
"Untuk mendapat taufik, kita perlukan rakan-rakan yang mampu mengingatkan kita tentang perkara-perkara yang baik," terang beliau.
Tegasnya lagi, hidayah juga dapat diusahakan dengan menghadiri kegiatan-kegiatan ilmu
"Jangan lupa juga membawa anak khususnya golongan remaja agar terlibat sama kerana dengan pengisian perkara manfaat ia bukan sahaja melindungi mereka daripada anasir melalaikan, malahan mengajar mereka gaya berkomunikasi secara sebenar sebagai bekalan dalam kehidupan mereka," kata Zahazan.
(Utusan 11/12/06)
0 Comments:
Post a Comment
<< Home